Thursday, 16 August 2012

RAMADAN, AL-QURAN DAN KITA

Ramadan dan al-Quran satu ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadan, di samping puasa, kita akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran). Bulan Ramadan bulan yang diturunkan dalamnya al-Quran. Penurunan al-Quran itu dua peringkat; pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi s.a.w secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad ditabalkan menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.
Para sarjana tidak berbeza pendapat bahawa al-Quran turun (Nuzul al-Quran) dalam bulan Ramadan. Ini kerana Allah sendiri yang menjelaskan bahawa al-Quran itu turun dalam bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya)
“Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk manusia” (Surah al-Baqarah, 185).
Namun begitu sarjana berbeza pendapat tentang berapa haribulankah Ramadan penurunan itu berlaku? Ada yang berpendapat ia diturunkan pada 21hb Ramadan. Pendapat ini dipegang oleh beberapa orang ulama, antaranya tokoh Sirah yang terkenal al-Syeikh Safiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri seperti yang beliau sebut dalam karyanya Rahiq al-Makhtum. Ada juga yang berpendapat 24hb Ramadan kerana bersandarkan hadis riwayat al-Imam Ahmad yang menyebut: “…Allah turunkan al-Quran pada 24hb Ramadan”. Hadis ini disahihkan oleh sebahagian ulama, dihasankan oleh sebahagian yang lain. Terdapat juga sarjana yang mendaifkannya disebabkan kritikan terhadap salah seorang rawi iaitu Imran bin al-Qattan. Namun ada riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas yang boleh menyokong riwayat ini. Di sana ada lain-lain pendapat tentang haribulan Nuzul al-Quran ini.
Di tempat kita biasanya kita mendengar tarikh Nuzul al-Quran pada 17hb Ramadan. Ini juga salah satu pendapat yang telah sesetengah sarjana kemukakan. Pun begitu pendapat ini mendapat kritikan sebahagian sarjana yang lain atas beberapa alasan. Antaranya, al-Quran sendiri menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada Malam al-Qadr (Lailatul Qadar). Ini seperti yang Allah sebut dalam Surah al-Qadr: (maksudnya)
“Sesungguhnya Kami telah turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr” (ayat 1).
Hadis-hadis Nabi s.a.w pula banyak yang menjelaskan bahawa Malam al-Qadr itu berlaku pada salah satu dari sepuluh malam yang akhir bulan Ramadan. Maka, sepatutnya penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) dalam lingkungan sepuluh yang akhir. Tokoh ilmu al-Quran yang terkenal al-Imam al-Zarqani menyebut dalam karyanya Manahil al-‘Urfan:
“Kemudian di sana ada pendapat yang menyatakan bahawa pemulaan Nuzul al-Quran itu pada 17hb Ramadan. Itulah merupakan Malam al-Qadr menurut sebahagian pendapat. Namun pandangan itu menyanggahi pendapat yang masyhur yang disokong oleh hadis sahih”. (1/52, Beirut: Dar al-Fikr).
Apapun perbezaan pendapat yang ada, kesemua umat akur bahawa al-Quran itu turun pada bulan Ramadan. Sarjana hanya berbeza pendapat tentang haribulannya sahaja. Masing-masing telah mengemukakan alasan mereka.
Penghayatan
Lebih penting dari itu semua, kita hendaklah menghayati tujuan al-Quran itu diturunkan kepada manusia. Ia bukan sebuah kitab sekadar untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan. Jika ramai orang boleh membaca al-Quran, melagukannya, menghiasinya dengan ukiran dan solekan yang indah namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran tidak akan berfungsi dalam kehidupan manusia. Ia seakan seorang pesakit yang membaca jadual ubatnya, menulisnya dengan indah dan cantik tetapi tidak memakannya. Firman Allah: (maksudnya):
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. (Surah al-Baqarah, 185).
Itulah tujuan penurunan al-Quran. Ia menjadi petunjuk, menjelaskan petunjuk tersebut serta memampukan pembacanya membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara haq dan batil. Itulah cahaya insan dalam menerangi cabaran kehidupan di dunia ini. Hal ini tidak mungkin diperolehi jika kita sekadar berlagu dan menggantungnya di dinding rumah dan pejabat tanpa melakukan tadabbur (penelitian kandungan). Allah menyebut dalam Surah al-Israa: (maksudnya)
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul, dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (ayat 9-10)
Kita semua ada kelemahan, kita juga mungkin tidak berjaya menjadi insan yang melaksanakan seratus peratus isi kandungan al-Quran tetapi kita sentiasa wajib beriman bahawa jalam hidup ini ialah mengikuti isi kandungan al-Quran, bergerak dan berusaha menghayatinya dari masa ke semasa adalah tanggungjawab seorang yang beriman. Kejayaan kita ialah dengan memahami dalam melaksanakan isi kandungan al-Quran. Kita hendaklah membaca al-Quran sehingga dapat membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara yang ikhlas dan yang pura-pura. Antara yang membela kebenaran dan yang memperjudikan kebenaran. Ini amat penting sepanjang masa, apatahlagi di zaman dunia yang penuh kekaburan dan kekeliruan. Tidak berpada sekadar melagukan, bertanding dan menggantung di dinding-dinding tanpa memperdulikan isi yang tersurat dan tersirat di sebalik tulisan yang tersemat.
Jangan juga kita lupa bahawa pada zaman ini akan ada yang menggunakan al-Quran untuk mendapatkan wang ataupun harta dunia dari manusia. Sabda Nabi
“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, bertaraf hasan).
Jangan hairan jika kita bertemu dengan mereka yang meminta wang bacaan al-Quran kononnya sebagai bayaran pahala kepada si mati, ataupun membaca al-Quran dengan segala lengangan lagunya hanya semata-mata untuk mendapatkan wang. Bukan itu tujuan al-Quran diturunkan!


Sumber ditulis oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin http://drmaza.com/home

 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...