Thursday 28 April 2011

Sorotan peristiwa ramah mesra peserta kursus KDP 4Minggu bahasa Melayu(PRO-MBM) 2011 di Umbai,Melaka


Tok Imam Membacakan Doa


pensyarah IPG yang hadir



hihihi..lawaknye





menghayati keindahan alam

huh!!!memang puas hati kita makan hari ni....

ambik gambar dulu sebelum makan!!!

perut kenyang,hati senang

cari yang mana beza kat gambar ni

sabar...sabar...menunggu waktu makan


meh saya tuangkan!!!!

pensyarah IPG yang hadir

pensyarah IPG yang hadir










Sunday 10 April 2011

Contoh Karangan :Faedah Melancong

           Melancong merupakan salah satu aktiviti yang amat menyeronokkan. Tambahan pula, ia memberi banyak mantaat. Semua manusia mengimpikan tempat yang indah untuk dilawati dan menghabiskan masa cuti bersama keluarga setelah penat menjalani kerja seharian. Negara kita mempunyai banyak tempat pelancongan yang menarik dan sesuai untuk dijadikan destinasi percutian.
Dengan melancong kita akan dapat menambahkan pengetahuan dan meluaskan pandangan ke tempat-tempat yang belum pernah kita lawati. Contohnya kita akan dapat melihat kebudayaan yang diamalkan di sesebuah tempat yang jauh berbeza dengan tempat kita. Selain itu, melancong juga dapat melapangkan fikiran. Fikiran kita perlu juga direhatkan daripada terus bekerja.
Melancong juga mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dengan melancong kaum keluarga dapat beramah mesra dan bersenda gurau sambi berhibur. Hal ini amat digalakkan oleh kerajaan memandangkan institusi kekeluargaan kini semakin longgar. Ibu bapa yang sibuk bekerja serta anak-anak yang sibuk dengan urusan pelajaran dapat bertemu dan bersatu serta mengukuhkan hubungan yang kian longgar.
Dengan melancong juga kita dapat mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah. Anak- anak terhindar daripada melakukan perkara negatit terutama pada waktu cuti sekolah seperti bercampur gaul dengan remaja yang rosak akhlak. Ibu bapa juga dapat mengetahui aktiviti anak-anak kerana sepanjang waktu melancong, anak-anak sentiasa bersama mereka.
Melancong juga akan dapat memajukan industri pelancongan negara. Kita sebagai rakyat Malaysia, hendaklah melancong ke seluruh Malaysia dahulu sebelum melancong ke luar negara. Malaysia tidak kurang hebatnya, kaya dengan destinasi-destinasi yang menarik. Contohnya Pulau Langkawi, Melaka Bandaraya Bersejarah, pantai Port Dickson, Tasik Kenyir, Air Terjun Sekayu, Pulau Tioman, Cherating, Zoo Negara, dan sebagainya.
Melancong bersama keluarga banyak taedahnya. Jadikan aktiviti ini untuk mengeratkan lagi silaturahim antara keluarga dan merehatkan tikiran yang dipenuhi dengan bebanan kerja.

Sumber: mindasasterabahsa.blogspot.com

Karangan dan Penanda Wacana

Penanda Wacana
i) Penanda permulaan karangan

a) Pada era globalisasi ini,
b) Pada zaman pascakemerdekaan ini,
c) Dalam meniti arus kemodenan ini,
d) Dewasa ini,
e) Pada masa ini,
f) Kini,
g) Dasawarsa ini,
h) Dalam meniti kehidupan pada marcapada,
i) Sejak sedekad yang lalu,
j) Sejak negara menikmati arus kemerdekaan,
k) Kebelakangan ini,
l) Belakangan ini,
m) Sejak akhir-akhir ini,

ii) Penanda memulakan isi baharu
a) Selain itu,
b) Di samping itu,
c) Sementara itu,
d) Lebih-lebih lagi,
e) Dalam pada itu,
f) Lain daripada itu,
g) Pada waktu yang sama,
h) Dalam pada itu,
i) Seterusnya,

iii) Penanda huraian isi karangan
a) Hal ini demikian kerana
b) Hal ini berlaku kerana
c) Hal ini terjadi kerana
d) Hal ini disebabkan oleh
e) Hal ini wujud akibat daripada
f) Hal ini bersangkut-paut dengan
g) Hal ini berpunca daripada
h) Hal ini tercetus apabila
i) Hal ini timbul apakala

iv) Penanda memberi contoh dalam karangan
a) Misalnya,
b) Contohnya,
c) Sebagai contoh,
d) Tamsilnya,
e) Sebagaimana yang kita sedia maklum,
f) Antaranya adalah seperti

v) Penanda menghuraikan contoha) Hal ini mengakibatkan
b) Hal ini menyebabkan
c) Oleh itu,
d) Maka,
e) Oleh hal yang demikian,
f) Oleh sebab itu,
g) Jelaslah bahawa
h) Justifikasinya,

vi) Penanda menutup isi
a) Kesannya,
b) Natijahnya,
c) Akibatnya,
d) Akhirnya,
e) Dengan itu,
f) Dengan berbuat demikian,
g) Dengan keadaan sedemikian,

vii) Penanda menulis dua huraian dalam satu ayat
Contoh:
Masalah sosial yang dibincangkan oleh masyarakat ini memang memeningkan kepala (Huraian 1) _(x)_ membimbangkan semua pihak. (Huraian 2)
a) justeru
b) malah
c) malahan
d) tambahan pula
e) sementelahan
f) sekali gus
g) di samping
h) bahkan
i) malar-malar

viii) Penanda memulakan perenggan penutup
a) Kesimpulannya,
b) Intihanya,
c) Secara tuntas,
d) Konklusinya,
e) Sebagai penutup wacana,
f) Sebagai penghias bicara akhir,
g) Sebelum mengakhiri wacana ini,
h) Secara keseluruhan,
i) Secara total,

ix) Penanda menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza
a) Walau bagaimanapun,
b) Walakin begitu,
c) Namun demikian,
d) Daripada perspektif yang berbeza,
e) Jika dilihat dari sudut lain,
f) Dengan kata lain,
g) Kontradiksinya,
i) Di sebalik itu,
j) Dalam pada itu,
k) Dari sudut lain,

x) Penanda memulakan atau memasukkan peribahasa
a) Bak kata peribahasa, .......
b) Bak kata peribahasa Melayu, ............
c) Bak kata orang tua-tua, ...........
d) Bak kata mutiara, .........
e) Bak peribahasa, ............
f) Bak kata cendekiawan, .............
g) Persis kata peribahasa, ............
h) Persis kata peribahasa Melayu, .............
i) Persis kata orang tua-tua, ............
j) Persis kata mutiara, ............
k) Persis peribahasa, ...............
l) Persis kata cendekiawan, .............
m) Hal ini sama dengan peribahasa ..........
n) Senario ini persis dengan peribahasa Melayu, yakni .......
o) Fenomena ini dikatakan
p) Masalah ini sama dengan peribahasa ...........
q) Saya yakin rakyat Malaysia mengenali peribahasa ..........

Sumber: mindasasterabahasa.blogspot.com

Saturday 9 April 2011

Contoh Karangan: Keburukan Internet

          Internet merupakan gedung ilmu yang tiada sempadan dan tiada tepinya.Tidak dinafikan lagi penggunaanya memberi banyak faedah kepada pengguna. Namun begitu, internet juga dapat memerangkap minda remaja marcapada ini terpengaruh dengan dunia maya.Unsur-unsur negatif seperti,bahan lucah dan aksi ganas dipaparkan melalui skrin komputer memberi impak negetif yang besar pada anak watan negara ini dan mampu membawa padah.

          Kesan daripada penyalahgunaan kemudahan internet pada aset negara ini akan membuat mereka lalai. Minda remaja sudah ketagih dengan unsur-unsur negetif alam maya akan menyebabkan tercetusnya gejala ponteng sekolah. Hal ini berlaku akibat daripada nafsu pelajar yang ingin berseronok di kafe siber dengan menyaksikan aksi lucah, ganas dan bermain permainan "online".

        Selain itu, anak watan negara ini akan obses dengan budaya yang ditonjolkan di internet. Natijahnya, orang lain yang tidak bersalah menjadi mangsa mereka.Tidak hairanlah kita menyaksikan kes melawan guru, berzina,bertumbuk,bergaduh sehingga membunuh di kalangan remaja dipaparkan melalui media massa.Siapakah penghulunya? Adakah internet patut dipersalahkan?

        Seterusnya, akibat daripada penyalahgunaan internet, ini akan membantutkan misi negara untuk mencapai wawasan 2020 sekaligus menyekat pembangunan negara untuk melahirkan modal insan minda kelas pertama yang unggul. Kesannya negara kita akan kehilangan tonggak peneraju negara. Dengan mudah musuh luar dapat menakluk negara kita jika tiada pemimpin yang berkaliber dan bijaksana.Dalam pada itu,ekonomi negara turut terjejas bak kata pepatah melayu " cubit paha kanan, paha kiri terasa juga". Natijahnya, kemerosotan ekonomi memandu negara ke arah kemiskinan.

        Nama negara yang gah di mata dunia tercalar akibat daripada rakyatnya yang terperangkap oleh alam maya dan kerajaan gagal untuk melahirkan modal insancemerlang seperti yang digariskan dalam wawasan 2020. Negara kita akan dipandang rendah oleh negara membangun lain jika hal sedemikian terus berleluasa. Di manakah semangat remaja untuk membantu negara? Menurut statistik, pelajar cemerlang yang dilahirkan semakin merosot dari tahun ke tahun.Adakah ini tanda-tanda awal yang membawa negara ke arah hari kekalahan?

        Bangunlah wahai ummah. Pihak berkuasa, pihak sewasta atau semua pihak harus berganding bahu dalam mencegah hal sedemikian dan jangan bersikap meterialistik dan individualistik. Anak watan peneraju negara harus dibentuk dengan acuan yang betul agar tidak dipenjara oleh diri sendiri akibat daripada sikapt diri.

Sumber:mindasasterabahasa.blogspot.com

Isu Kepenggunaan ICT Dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Guru perlu menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer agar pemahaman yang mantap terhadap konsep tersebut dapat memberi kesan kepada mutu pengajaran guru. Ini disebabkan terdapat pelbagai pemahaman terhadap konsep yang diberikan oleh guru BM. Tiga komponen utama yang perlu ada di dalam pengajaran bahasa berbantukan komputer iaitu komputer, bahasa dan pembelajaran (Finkbeiner, 2001).

Guru pada peringkat awal perlu memahami konsep dan prosedur pelaksanaan pengajaran menggunakan komputer agar memberikan kesan yang optimum kepada pelajar. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa ada dilakukan oleh guru BM. Namun, penggunaan yang tidak menyeluruh dari segi keperluan perlu diberikan perhatian. Contohnya, penggunaan komputer dalam kemahiran menulis sepatutnya diberikan perhatian kerana penggunaan komputer mampu membantu pelajar dalam menyusun organisasi teks serta dapat memudahkan penyuntingan dilakukan. Bagi memastikan keberkesanan pengajaran, bahan bantu yang digunakan perlulah dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan (Yahya Othman, 2007).

Kursus komputer telah dihadiri oleh kebanyakan guru BM. Untuk menjamin keberkesanan penggunaan dalam pengajaran, kursus yang dihadiri perlu dikaitkan dengan pembinaan bahan pembelajaran. Perisian yang sesuai boleh digunakan untuk tujuan tersebut. Ini bersesuaian dengan dapatan kajian oleh Jeong-Bae Son (2006) yang menunjukkan penggunaan komputer
dalam pengajaran terutama yang melibatkan kursus dalam talian mampu menarik perhatian pelajar.

Penggunaan komputer dapat memupuk minat yang mendalam terhadap penguasaan BM. Kajian yang dijalankan oleh Saad Al Kahtani (1999) menunjukkan penggunaan komputer dalam pengajaran menulis
karangan dapat memberi kesan terhadap pencapaian pelajar.

Kekangan yang dihadapi oleh guru BM dalam melaksanakan pengajaran berbantukan komputer meliputi aspek kursus peningkatan, pelajar yang pelbagai kecerdasan, teknologi komputer yang sering berubah, masa yang diperlukan untuk membuat persediaan pengajaran, dan sebagainya boleh memberi kesan terhadap pengajaran. Stallard (1998) pula menghuraikan faktor kebolehan guru dalam pengendalian komputer, penyediaan bahan pengajaran dan strategi yang sesuai digunakan merupakan kekangan yang sering dihadapi. Dalam hal ini, perancangan dan persediaan pihak pentadbir sekolah dalam menyediakan guru-guru agar benar-benar menguasai kemahiran tersebut perlu dilakukan secara profesional.

Masalah dalam penggunaan komputer perlu dihadapi dengan memberikan penekanan kepada penggunaan ICT dalam pengajaran sebagaimana yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran. Sukatan pelajaran BM perlu dirujuk untuk melihat keperluan menggunakan komputer dalam pengajaran. Selain itu, penekanan pengajaran secara integrasi dalam mata pelajaran yang lain
juga mampu untuk membantu pelajar mahir dalam sesuatu tajuk (Hokanson & Hooper, 2004).

BM sedang mengalami zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan
umum terhadap kepentingannya dalam pengajaran (A. Aziz Deraman, 2007). Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan kemahiran bahasa yang diajarkan. Penggunaan komputer dalam pengajaran BM berupaya meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai BM dengan lebih baik. Oleh itu, aspek latihan dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkan
penggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai dengan keperluan semasa perlu diberikan perhatian.

oleh Khir Johari bin Mat Ariff

Munsyi Dewan: Peranan dan Tanggungjawab dalam Memartabatkan Bahasa Melayu

Munsyi Dewan ialah penceramah bahasa Melayu yang dilantik khas dan diiktiraf oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengendalikan kursus, ceramah dan taklimat bahasa Melayu di sektor awam dan swasta.  Program ini bermula pada tahun 1995.  Tujuan pembinaan Munysi Dewan adalah untuk mewujudkan pakar rujuk bahasa Melayu untuk membantu DBP dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu di sektor awam dan swasta.
PERANAN
  • Menjadi pembimbing pelajar dan guru di sekolah, pengguna bahasa lain di daerah dan kawasan masing-masing dalam hal kebahasaan;
  • Menjadi pakar rujuk untuk menyelesaikan kemusykilan tentang bahasa Melayu;
  • Mengendalikan pelbagai aktiviti bahasa untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu; dan
  • Membantu DBP melaksanakan dan menjayakan pelbagai aktiviti bahasa.
KEISTIMEWAAN

Munsyi Dewan akan menikmati keistimewaan seperti yang berikut :
  • Bayaran kepakaran;
  • Elaun perkilometeran;
  • Elaun makan minum;
  • Tambang kapal terbang atau yang setara dengannya.
  • Pertimbangan untuk menghadiri mana-mana majlis bahasa anjuran DBP secara percuma atau mengikut bayaran seperti staf DBP; dan
  • Kemudahan membeli buku dengan potongan harga sebanyak 20% di Kedai Buku DBP, Cawangan dan Wilayah.

TANGGUNGJAWAB DAN ETIKA
  • Menyampaikan maklumat bahasa Melayu seperti yang telah diputuskan oleh DBP.
  • Membantu DBP memberikan kursus, ceramah dan taklimat bahasa Melayu.
  • Sentiasa menjaga nama baik DBP kerana Munsyi Dewan ditauliahkan oleh DBP.
  • Pertimbangan untuk menghadiri mana-mana majlis bahasa anjuran DBP secara percuma atau mengikut bayaran seperti staf DBP; dan
  • Kemudahan membeli buku dengan potongan harga sebanyak 20% di Kedai Buku DBP, Cawangan dan Wilayah.
Sumber: www.dpb.gov.my

Isu: Memartabatkan Bahasa Melayu


Memartabatkan bahasa Melayu

BAHASA Melayu sejak lebih daripada satu alaf telah memiliki martabat sebagai bahasa besar. Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Pada zaman kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi.
Sarjana Belanda Francois Valentijn mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut:
``Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehinggan kepulauan Filipina.''
Kebitaraan bahasa Melayu pada abad 16 dan 17 dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa bahasa tersebut telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia dan bahasa sastera.
Kelunturan martabat bahasa Melayu
Martabat bahasa Melayu dilunturkan oleh penjajah (Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia) dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas menjadi bahasa setempat atau bahasa vernakular yang disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa perhubungan sehari-hari dan lebih untuk lingkungan masyarakat Melayu. Dalam zaman penjajahan Inggeris, bahasa Melayu disetarafkan dengan bahasa keturunan yang dibawa oleh Inggeris untuk kepentingan ekonomi, iaitu keturunan Cina dan India dengan menjadikannya bahasa penghantar di sekolah vernakular Melayu, sama halnya dengan bahasa Cina di sekolah vernakular Cina dan bahasa Tamil di sekolah vernakular India.
Dalam bidang bahasa dan pendidikan, terang bahawa bahasa Melayu hanya menjadi bahasa penghantar sekolah Melayu yang terbatas pula jangkauan bidang ilmu dan kemahirannya. Hal ini direncanakan dengan cukup kemas oleh penjajah Inggeris, semata-mata untuk menutup kemungkinan anak watan dapat muncul sebagai bangsa berwibawa dan dengan demikian berupaya membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan.
Selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan, tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta keeksklusifan bahasa penghantar ilmu yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris.
Namun, apabila ada tindakan berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana bidang-bidang utama kenegaraan itu, khususnya melalui bidang pendidikan, maka martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka secara langsung akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak pembinaan negara.
Walau bagaimanapun dengan adanya tantangan-tantangan semasa, bahasa Melayu mengalami kemerosotan dalam dua aspek, iaitu aspek taraf dan mutunya.
Kemerosotan dalam aspek taraf bermaksud penyempitan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang.
Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan.
Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan kod, bahasa SMS, bahasa sembang di Internet dan sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi.
Demikian juga, semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing (misalnya precinct, parcel dan boulevard).
Senario kini tentang kedudukan bahasa Melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa Melayu dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang fungsional, iaitu yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Senario itu tergambar pada beberapa perkara berikut:
1. Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi tidak mengutamakan bahasa Melayu.
2. Tidak tegasnya dan tidak selarasnya penguatkuasaan penggunaan bahasa dalam sektor tertentu seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam dan penyiaran.
3. Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan dan pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib.
4. Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadangkala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat (pemimpin, profesional dan orang awam) untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.
5. Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.
Jika bahasa Melayu digunakan pula, masih besar jumlah anggota masyarakat, termasuk golongan yang berpengaruh yang menggunakannya pada tahap mutu bahasa yang tidak begitu mencerminkan budaya tinggi.
6. Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu. Sebagai contoh, dalam pada DBP mengusahakan penglibatan sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (menurut laporan The Star pada 1 Januari 2004) membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan dan iklan. Seorang menteri kanan pula, mengajak masyarakat mengabaikan pejuang bahasa yang didakwanya berfikiran sempit.
Langkah meningkatkan martabat bahasa Melayu
Peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya, sebagai langkah membina ketahanan jati diri dan maruah bangsa dan negara.
Dalam bidang bahasa, antara langkah yang perlu diambil termasuklah:
1. Penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu - contohnya, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Semua peruntukan tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara hendaklah bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur oleh semua lapisan, daripada pemimpin negara hingga penjawat awam dan masyarakat umum. Usahlah ada sebarang tindakan yang melemahkan undang-undang tersebut, sama ada melalui pengenalan dasar baru, pernyataan atau tindakan yang bercanggah dengan undang-undang itu.
2. Pindaan dan perluasan peruntukan akta yang berkaitan - pindaan Akta Bahasa Kebangsaan yang memberikan cakupan lebih luas penggunaan bahasa Melayu, pindaan akta-akta yang sudah tidak kemas kini atau tidak jelas tentang penggunaan bahasa Melayu seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Pertubuhan, Akta Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat, Akta Cap Dagang, Akta Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu disegerakan. Selain itu, akta yang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran dan Undang-Undang Kecil Pengiklanan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas.
3. Pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu - usaha ini perlu ditingkatkan supaya nilai bahasa Melayu menjadi lebih tinggi sebagai bahasa budaya tinggi, melalui penerbitan bahan ilmiah dan rujukan umum dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat dan dalam pelbagai media (bercetak dan elektronik). Agenda pengayaan khazanah ilmu dan persuratan Melayu mesti dimasukkan dalam agenda pembangunan negara melalui Belanjawan Negara.
4. Pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan - usaha ini perlu dimantapkan semula, dari peringkat prasekolah hingga peringkat pengajian tinggi. Kerajaan perlu memberikan penegasan yang lebih berat kepada usaha pembudayaan bahasa Melayu sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Malaysia dalam dua aspek yang penting. Yang pertama ialah pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Sebarang usaha berundur daripada keputusan yang penting dan bijaksana serta telah membuktikan kejayaan dalam proses pembinaan negara hendaklah dielakkan. Kejayaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan universiti-universiti lain dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk pelbagai bidang ilmu tidak harus direncatkan. Aspek yang kedua ialah pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui kegiatan pengajaran dan pemelajaran, sukatan pelajaran, buku teks dan bacaan tambahan serta melalui pelbagai kegiatan kokurikulum. Dengan demikian diharapkan landaan pelbagai ragam bahasa tidak rasmi, sama ada bahasa sembang Internet, bahasa SMS atau yang lain tidak akan sampai menggugat bahasa yang mewakili budaya teras.
5. Komponen bahasa dan persuratan dalam pelbagai program negara - semua program negara yang bersifat pembinaan sahsiah di pelbagai peringkat mesti memasukkan program bahasa dan persuratan, misalnya dalam Program Khidmat Negara, kursus Biro Tatanegara, KP3P dan sebagainya. Kursus atau apa-apa juga program motivasi untuk kalangan ahli politik dan profesional perlu memasukkan modul bahasa dan persuratan di dalamnya.
6. Modul bahasa dan persuratan dalam program latihan jabatan - setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan persuratan dalam program ``kursus dalam perkhidmatan'' masing-masing.
7. Pemantauan berterusan terhadap bidang penyiaran dan media massa - usaha ini perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa media massa melaksanakan tanggungjawab sebagai ejen pemantapan bahasa yang baik dan santun dalam penyiaran dan penerbitan program atau bahan. Tindakan perlu dilaksanakan dalam bentuk tindakan pentadbiran dan juga tindakan undang-undang.
8. Program pemasyarakatan bahasa kebangsaan bertaraf kebangsaan - kerajaan, melalui semua kementerian, jabatan dan agensi serta perbadanan dan pihak swasta hendaklah secara aktif dan terancang menyertai program pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara yang telah dirancang dan dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Selain itu, setiap jabatan kerajaan dan swasta hendaklah diminta merancang dan menganjurkan kegiatan yang dapat menyemarakkan pembudayaan bahasa Melayu dari waktu ke waktu dalam perancangan tahunan supaya bahasa dan persuratan Melayu tidak terpinggir dalam sektor di luar lingkungan orang atau institusi khusus dalam bidang bahasa dan sastera.
Pembangunan negara yang hakiki dan bersepadu hanya tercapai apabila semua bidang yang penting diberi perhatian yang sama beratnya, termasuk bidang bahasa dan budaya. Dalam konteks pembentukan jati diri dan citra negara ini pula, dasar-dasar yang bersifat endoglosia, iaitu berasaskan keperibumian yang disokong oleh hakikat sejarah kebudayaan dan tamadun di negara dan dirantau ini perlu dipertahankan dan ditingkatkan.
Tidak seharusnya berlaku keadaan negara menuju kejayaan ekonomi dan industri sementara mengalami kehancuran dari segi unsur dalaman bangsa, terutama bahasa dan budaya. Oleh itu, kerjasama antara semua kementerian, jabatan, agensi, pertubuhan, sektor swasta dan orang perseorangan perlu digemblengkan secara bersepadu oleh pemerintah dalam bentuk rangkaian yang berkesan untuk memastikan pencapaian yang seimbang.

Oleh PROF. DR. AWANG SARIYAN  

Thursday 7 April 2011

Memahami bidang Morfologi dalam Bahasa Melayu

MORFOLOGI

Morfologi ialah satu bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan. Morfologi boleh juga ditakrifkan sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk, dan golongan perkataan.

  UNSUR-UNSUR MORFOLOGI
1.Secara umumnya, setiap struktur terbina dari unsur-unsur yang lebih kecil.
2.Struktur bahasa juga mempunyai unsurnya yang dicantum agar menjadi satu
perkataan.
3.Kajian struktur perkataan dipanggilMorfol ogi manakala kajian mengenai binaan
ayat pula dipanggilSintak si s.
4.Ada 2 unsur yang terlibat dalam membina perkataan iaitu Mo rfe m DanKata.
MORFEM
1.Morfem ialah unit bahasa yang terkecil yang mempunyai makna dan fungsi
bahasa.
2.Antara unsur-unsur bahasa seperti ber-, ter-, ke-, me-, -nya, -kah, -lah, -pun, -an tidak boleh diperkecilkan lagi namun mempunyai fungsi seandainya digabungkan dengan perkataan lain seperti bertanya, memaafkan.
3.Oleh yang demikian, unsur-unsur di atas merupakan morfem.
KATA
1.Unsur-unsur lain seperti rumah, kereta, pokok, udara, jalan danduduk tidak boleh
diperkecilkan lagi kerana ianya tidak akan memberi makna.
2.Jika kata itu tidak boleh diperkecilkan lagi dan akan menjadi tidak bermakna maka
perkataan itu juga adalah unit yang terkecil dan morfem.
3.Kata juga merupakan unsur morfologi yang digunakan untuk membentuk
perkataan lain.
1.1.3 TEORI PEMBENTUKAN KATA
1.Proses pembentukan kata menerangkan bagaimana sesuatu kata itu dibina dan
dibentuk sehingga dapat menghasilkan ayat dan ujaran dalam sesuatu bahasa.
2.Terdapat beberapa bentuk perkataan seperti :
Perkataan tunggal seperti satu, baik, sekolah danpanj at.
Perkataan terbentuk hasil proses pengimbuhan seperti berkawan, terjunam, dan
disarankan.
Perkataan terbentuk hasil pemajmukan dan penggandaan seperti buku tulis,
gambar rajah, bahan, bukit-bukaudan bantu-membantu.
1.Bahasa melayu merupakan bahasa yang bersifataglutinatif iaitu bahasa yang kebanyakan perkataannya terbentuk melalui proses pengimbuhan, iaitu penggabungan morfem kata dasar dengan morfem imbuhan.

Tatabahasa:Kata Kerja

Kata kerja merupakan golongan kata yang menjadi inti dalam frasa kerja, sama ada yang berlaku atau dilakukan. Contohnya, berjalan, makan, memakan, dimakan dan sebagainya. Kata kerja terbahagi kepada, kata kerja transitif ( Perbuatan Melampau ) dan kata kerja tak transitif ( Perbuatan tidak Melampau ).
Berjalan
Makan
Sumber:http://www.wikipedia.com.my

Tatabahasa:Kata Nama

Kata nama adalah golongan kata yang terbahagi kepada dua bahagian yang besar iaitu nama am, nama khas, ganti nama dan nama terbitan.

 KATA NAMA AM
Kata nama am ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti orang, haiwan, dan sesuatu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, tempat , benda, dan sebagainya secara umum seperti dalam contoh di bawah:
orang: ayah, polis, perempuan dll.
haiwan: ayam, itik, buaya dll.
benda: televisyen, komputer, bank dll.
tempat: stadium, jalan raya, pulau dll.
Kata nama am boleh dibahagikan kepada dua iaitu konkrit dan abstrak. Kata nama am konkrit ialah nama sesuatu yang dapat dipegang, dirasa atau dilihat. Kata nama am abstrak pula ialah nama sesuatu yang hanya dibayangkan atau dikhayalkan. Kedua kelas kata ini boleh terdiri daripada kata dasar dan kata terbitan.
Contoh: buai -> buaian
Kata nama am mestilah menggunakan huruf kecil melainkan pada awal ayat.

Kata Nama Khas

Kata nama khas ialah kata nama yang secara khususnya digunakan untuk menyebut nama sesuatu benda sama ada benda yang bernyawa dan yang tidak bernyawa. Benda-benda yang bernyawa ialah nama manusia dan nama binatang. Benda-benda yang tidak bernyawa ialah nama tempat, judul buku, nama bangunan, dan sebagainya.

Perkataan Nama Khas digunakan bagi menyebut sesuatu yang tertentu, khusus atau khas. Contoh perkataan ditunjukkan seperti di bawah:
benda: Sri Aman, Volvo, Parker 45, Hikayat Hang Tuah, dll
orang: Cik Rafidah, Inspektor Azman, Dr. Long dll
binatang: Blacky, Pak Belang, Sang Kancil,dll
tempat: Kampung Bahru, Shah Alam, Kuala Lumpur dll
Biasanya huruf pertama perkataan nama khas ini hendaklah ditulis dengan huruf besar.

Kata Ganti Nama

Untuk rencana lanjutan, lihat Kata Ganti Nama
Kata ganti nama ialah kata nama yang digunakan untuk mewakili diri seseorang atau sebagai penunjuk. Kata ganti nama penunjuk terbahagi kepada dua iaitu penunjuk bersifat menerangkan (contohnya ini, itu), dan penunjuk bersifat pertanyaan (contohnya siapa, apa, mana).
Kata ganti diri pula terbahagi kepada tiga:
diri pertama:saya, beta, aku, patik, kami, kita, daku
diri kedua: awak, engkau, kamu, anda, saudara, saudari, tuan hamba
diri ketiga: ia, dia, beliau, mereka, baginda, -nya

Kata Nama Terbitan

Untuk rencana lanjutan, lihat Imbuhan Kata Nama
Kata nama terbitan wujud apabila kata nama am diberi imbuhan. Imbuhan yang membentuk kata nama terbitan boleh diletakkan di awal kata ( awalan ), di akhir kata ( akhiran ), di awal dan di akhir kata ( apitan ) dan diselitkan di tengah perkataan ( sisipan)


Sumber:http://www.wikipedia.com.my

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...