Saturday, 9 April 2011

Isu Kepenggunaan ICT Dalam Pengajaran Bahasa Melayu

Guru perlu menguasai konsep pengajaran bahasa berbantukan komputer agar pemahaman yang mantap terhadap konsep tersebut dapat memberi kesan kepada mutu pengajaran guru. Ini disebabkan terdapat pelbagai pemahaman terhadap konsep yang diberikan oleh guru BM. Tiga komponen utama yang perlu ada di dalam pengajaran bahasa berbantukan komputer iaitu komputer, bahasa dan pembelajaran (Finkbeiner, 2001).

Guru pada peringkat awal perlu memahami konsep dan prosedur pelaksanaan pengajaran menggunakan komputer agar memberikan kesan yang optimum kepada pelajar. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa ada dilakukan oleh guru BM. Namun, penggunaan yang tidak menyeluruh dari segi keperluan perlu diberikan perhatian. Contohnya, penggunaan komputer dalam kemahiran menulis sepatutnya diberikan perhatian kerana penggunaan komputer mampu membantu pelajar dalam menyusun organisasi teks serta dapat memudahkan penyuntingan dilakukan. Bagi memastikan keberkesanan pengajaran, bahan bantu yang digunakan perlulah dapat membantu guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan (Yahya Othman, 2007).

Kursus komputer telah dihadiri oleh kebanyakan guru BM. Untuk menjamin keberkesanan penggunaan dalam pengajaran, kursus yang dihadiri perlu dikaitkan dengan pembinaan bahan pembelajaran. Perisian yang sesuai boleh digunakan untuk tujuan tersebut. Ini bersesuaian dengan dapatan kajian oleh Jeong-Bae Son (2006) yang menunjukkan penggunaan komputer
dalam pengajaran terutama yang melibatkan kursus dalam talian mampu menarik perhatian pelajar.

Penggunaan komputer dapat memupuk minat yang mendalam terhadap penguasaan BM. Kajian yang dijalankan oleh Saad Al Kahtani (1999) menunjukkan penggunaan komputer dalam pengajaran menulis
karangan dapat memberi kesan terhadap pencapaian pelajar.

Kekangan yang dihadapi oleh guru BM dalam melaksanakan pengajaran berbantukan komputer meliputi aspek kursus peningkatan, pelajar yang pelbagai kecerdasan, teknologi komputer yang sering berubah, masa yang diperlukan untuk membuat persediaan pengajaran, dan sebagainya boleh memberi kesan terhadap pengajaran. Stallard (1998) pula menghuraikan faktor kebolehan guru dalam pengendalian komputer, penyediaan bahan pengajaran dan strategi yang sesuai digunakan merupakan kekangan yang sering dihadapi. Dalam hal ini, perancangan dan persediaan pihak pentadbir sekolah dalam menyediakan guru-guru agar benar-benar menguasai kemahiran tersebut perlu dilakukan secara profesional.

Masalah dalam penggunaan komputer perlu dihadapi dengan memberikan penekanan kepada penggunaan ICT dalam pengajaran sebagaimana yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran. Sukatan pelajaran BM perlu dirujuk untuk melihat keperluan menggunakan komputer dalam pengajaran. Selain itu, penekanan pengajaran secara integrasi dalam mata pelajaran yang lain
juga mampu untuk membantu pelajar mahir dalam sesuatu tajuk (Hokanson & Hooper, 2004).

BM sedang mengalami zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan
umum terhadap kepentingannya dalam pengajaran (A. Aziz Deraman, 2007). Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan kemahiran bahasa yang diajarkan. Penggunaan komputer dalam pengajaran BM berupaya meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai BM dengan lebih baik. Oleh itu, aspek latihan dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkan
penggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai dengan keperluan semasa perlu diberikan perhatian.

oleh Khir Johari bin Mat Ariff

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...