Sunday, 21 October 2012

Sampaikan Sunnah, Jangan Bertengkar

Imam Ahmad bin Hanbal terkenal dengan kepakarannya dalam ilmu hadis. Beliau juga sangat teguh berpegang kepada sunnah.Suatu hari, Al-Abbas bin Ghalib al-Warraq bertanya kepadanya: "Jika aku berada dalam satu majlis, dan tidak ada yang mengetahui sunnah dalam majlis itu kecuali diriku, lalu seorang ahli bidaah berbicara. Bolehkah aku membantahnya?"
    Imam Ahmad menjawab: "Beritahukanlah sunnah itu, namun jangan bertengkar". Al-Warraq mengulangi soalannya beberapa kali,namun Imam Ahmad tetap melarangnya. Beliau tidak menyukai pertengkaran walaupun untuk menegakkan sunnah sekalipun. Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Imam Ahmad menjadi marah. Beliau berkata: "Aku mendapati engkau orang yang suka bertengkar!" Diceritakan oleh Ibn Muflih al-Hanbali dalam Kitab al-Adab al-Shar'iyyah.

Pengajaran: Kewajipan kita hanya menyampaikan sunnah. Jika orang lain tidak menerimanya, maka tidak wajib memaksa apalagi bertengkar dengannya. Pertengkaran hanya akan membawa kepada permusuhan dan tiada siapa yang mendapat manfaat daripada permusuhan sesama kaum Muslimin selain musuh-musuh Islam.

Sumber: Dipetik daripada Majalah al-Ustaz.

Berhikmah dalam Menegur

Atikah binti Zaid seorang wanita yang sangat cantik. Khalifah Umar bin al-Khattab menikahi beliau pada tahun 12 Hijrah setelah suaminya terbunuh. Sayidina Umar sangat mencintai isterinya ini dan selalu menuruti segala keinginannya.
   Salah satu kesukaan Atikah adalah menghadiri solat berjemaah di masjid. Meskipun Umar tidak suka isterinya keluar, namun beliau tidak menghalang Atikah daripada melakukan apa-apa yang ia inginkan.
   Namun begitu, Umar merancang sesuatu agar Atikah tidak lagi keluar rumah atas kehendaknya sendiri. Pada suatu malam yang gelap,Umar berdiri di tepi jalan.Beliau menunggu Atikah yang akan melintas untuk pergi ke masjid.
   Apabila Atikah melalui jalan tersebut, Umar mendekatinya dari arah belakang, menepuk punggung Atikah dengan tangannya, lalu pergi meninggalkan tempat tersebut. Atikah yang tidak mengetahui bahawa yang menepuknya itu ialah suaminya sendiri menjadi ketakutan. Beliau segera balik ke rumah dan sejak hari itu tidak pernah lagi keluar ke masjid.

Pengajaran: Seorang isteri mesti peka dengan perasaan suaminya. Ia mesti meninggalkan apa-apa yang tidak disukai oleh suaminya tanpa harus diminta. Pada saat yang sama, suami mesti pandai menjaga perasaan isterinya. Sedapat mungkin ia menegur isterinya dengan hikmah tanpa melukai perasaannya.

Sumber: Al-Bidayah wa al-Nihayah,Ibn Kathir..dipetik daripada Majalah Al-Ustaz.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...