Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Tuesday, 25 June 2013

Persiapan sebelum Ramadhan


 
gambar hiasan

 Ada beberapa tips untuk kita lakukan sebelum menghadapi bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi.Tips yang saya ingin kongsi ini dipetik daripada majalah Solusi bil 10/2009 antaranya ialah;

  • Lakukan warm-up dengan berpuasa setiap hari Isnin dan Khamis
  • Mulakan membaca al-quran setiap hari dan tambahkan jumlah ayat yang dibaca berbanding sebelum ini.
  • Luangkan masa mendengar bacaan al-quran.
  • Latih diri untuk tidur awal, seolah-olah anda sedang berada dalam bulan Ramadhan.Bukan itu sahaja ikhtiarkan bangun awal seolah-olah anda perlu bersahur. Kemudian hiasilah tabiat bangun awal dengan solat sunat dan bacaan al-quran.
  • Sentiasalah dalam keadaan berwudhuk.
  • Berilah peluang kepada diri anda bersendirian supaya anda dapat meluangkan masa mengingati Allah dengan berzikir.
  • Mulakan amalan sedekah,sedikit demi sedikit.
  • Luangkan masa solat sunat seperti solat sunat Rawatib,Dhuha,Qiamulail.
  • Bantulah orang lain dengan ilmu,kudrat dan kebolehan yang kita ada.
  • Dekati orang-orang yang berilmu, orang-orang soleh supaya kita dapat belajar lebih daripada mereka.
  • Luangkan sedikit masa bersama ahli keluarga, rakan dan sesiapa sahaja di sekitar anda dan berbincanglah tentang Ramadhan yang bakal tiba,harapan, persiapan dan sebagainya.

Siapakah Ibnu Battuta?

Siapakah Ibnu Battuta?Namanya terpahat di dalam bidang pengembaran atau pelayaran dan seorang yang sangat dikenali di merata dunia.

Muhammad bin Abdullah bin Muhammad Al-Lawati Al-Tanji ialah nama sebenar beliau.Dilahirkan pada 24 Februari 1304 bersamaan Rejab 704 Hijrah di Bandar Tanjah,Moroco(Maghribi). Gelaran yang lebih dikenali kepada beliau ialah Ibnu Battuta atau As Sham Ad-Din.

Selain terkenal sebagai seorang pengembara, beliau turut terkenal dalam bidan penulisan buku Tuhfat al-Nazhar yang mengisahkan pengembaraanya ke benua Asia dan Afrika.

Ibnu Battuta memulakan pengembaraannya ketika berusia 21 tahun. Bermula pada hari Khamis 14 Jun 1325, beliau meninggalkan Tanjah Moroco untuk menjelajah dua benua iaitu Afrika dan Asia. Beliau menggembara selama 38 tahun (suatu tempoh masa yang sangat lama) dengan jarak perjalanan sejauh 120,000 kilometer dan singgah di 44 negara di dalam benua Afrika dan Asia.

Beliau balik semula ke tanah airnya semasa pemerintahan Sultan Abu Inan.Pengalaman penggembarannya itu ditulis semula oleh Ibn Juza melalui bukunya yang diberi judul Tuhfat al- Anzhar fi Ghoraib al-Absar wa Ajaib al-Asfa.

Dipetik daripada buku Ulama Membina Tamadun Manusia,sususnan Wahba,Hafiz Hamzah.

Sunday, 21 October 2012

Sampaikan Sunnah, Jangan Bertengkar

Imam Ahmad bin Hanbal terkenal dengan kepakarannya dalam ilmu hadis. Beliau juga sangat teguh berpegang kepada sunnah.Suatu hari, Al-Abbas bin Ghalib al-Warraq bertanya kepadanya: "Jika aku berada dalam satu majlis, dan tidak ada yang mengetahui sunnah dalam majlis itu kecuali diriku, lalu seorang ahli bidaah berbicara. Bolehkah aku membantahnya?"
    Imam Ahmad menjawab: "Beritahukanlah sunnah itu, namun jangan bertengkar". Al-Warraq mengulangi soalannya beberapa kali,namun Imam Ahmad tetap melarangnya. Beliau tidak menyukai pertengkaran walaupun untuk menegakkan sunnah sekalipun. Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Imam Ahmad menjadi marah. Beliau berkata: "Aku mendapati engkau orang yang suka bertengkar!" Diceritakan oleh Ibn Muflih al-Hanbali dalam Kitab al-Adab al-Shar'iyyah.

Pengajaran: Kewajipan kita hanya menyampaikan sunnah. Jika orang lain tidak menerimanya, maka tidak wajib memaksa apalagi bertengkar dengannya. Pertengkaran hanya akan membawa kepada permusuhan dan tiada siapa yang mendapat manfaat daripada permusuhan sesama kaum Muslimin selain musuh-musuh Islam.

Sumber: Dipetik daripada Majalah al-Ustaz.

Berhikmah dalam Menegur

Atikah binti Zaid seorang wanita yang sangat cantik. Khalifah Umar bin al-Khattab menikahi beliau pada tahun 12 Hijrah setelah suaminya terbunuh. Sayidina Umar sangat mencintai isterinya ini dan selalu menuruti segala keinginannya.
   Salah satu kesukaan Atikah adalah menghadiri solat berjemaah di masjid. Meskipun Umar tidak suka isterinya keluar, namun beliau tidak menghalang Atikah daripada melakukan apa-apa yang ia inginkan.
   Namun begitu, Umar merancang sesuatu agar Atikah tidak lagi keluar rumah atas kehendaknya sendiri. Pada suatu malam yang gelap,Umar berdiri di tepi jalan.Beliau menunggu Atikah yang akan melintas untuk pergi ke masjid.
   Apabila Atikah melalui jalan tersebut, Umar mendekatinya dari arah belakang, menepuk punggung Atikah dengan tangannya, lalu pergi meninggalkan tempat tersebut. Atikah yang tidak mengetahui bahawa yang menepuknya itu ialah suaminya sendiri menjadi ketakutan. Beliau segera balik ke rumah dan sejak hari itu tidak pernah lagi keluar ke masjid.

Pengajaran: Seorang isteri mesti peka dengan perasaan suaminya. Ia mesti meninggalkan apa-apa yang tidak disukai oleh suaminya tanpa harus diminta. Pada saat yang sama, suami mesti pandai menjaga perasaan isterinya. Sedapat mungkin ia menegur isterinya dengan hikmah tanpa melukai perasaannya.

Sumber: Al-Bidayah wa al-Nihayah,Ibn Kathir..dipetik daripada Majalah Al-Ustaz.

Saturday, 22 September 2012

Seksaan Orang yang meninggalkan Sembahyang/Solat

"Solat adalah tiang agama, barangsiapa yang menunaikannya maka sesungguhnya dia telah mendirikan agamanya, dan barang siapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agamanya"

Terdapat 15 seksaan bagi orang-orang yang meninggalkan solat

6 seksaan di dunia
  1. Allah mengurangkan berkat umurnya
  2. Allah tidak memurahkan rezeki orang yang meninggalkan solat.
  3. Tiada cahaya dan tanda orang-orang yang soleh di wajahnya.
  4. Amalkan kebajikannya tidak diterima oleh Allah, amal baik hanya sia-sia sahaja
  5. Dibenci oleh semua makhluk dan tidak termasuk dalam golongan orang Islam
  6. Doanya tidak dimakmulkan oleh Allah SWT
3 seksaan semasa Sakaratul Maut(kematian)
  1. Mati dalam keadaan hina
  2. Mati dalam keadaan terlalu lapar
  3. Mati dalam keadaan sangat dahaga
3 seksaan di dalam kubur
  1. Kuburnya disempitkan dan mayatnya dihimpit
  2. Allah mengelapkan kuburnya
  3. Seksaan yang amat pedih sehingga hari pembalasan
3 seksaan di hari pembalasan
  1. Di hari kiamat,mereka dibelenggu oleh para malaikat
  2. Allah memandang mereka dengan kemurkaan
  3. Golongan ini akan dimasukkan ke dalam neraka yang azabnya sangat pedih
Solat serta azab yang menanti orang yang meninggalkan solat
  1. Subuh-sekali meninggalkannya akan dimasukkan ke dalam neraka selama 30tahun akhirat(bersamaan 60000 tahun kiraan dunia)sangat lama.
  2. Zohor-sekali meninggalkannya dosanya sama seperti membunuh 1000 orang umat Islam.
  3. Asar-Sekali meninggalkannya sama sepeti dosa meruntuhkan Masjidil Haram Makkah.
  4. Maghrib-Sekali meninggalkannya sama seperti dosa berzina dengan ibu sendiri
  5. Isyak-sekali meninggalkannya tiada redha Allah, mereka tinggal dibumi yang berbmbungkan langit dan makan minum dari nikmatNya.

Saturday, 8 September 2012

Siapakah Wanita Pertama Masuk Ke Syurga???

Pada suatu hari Fatimah bertanya Rasulullah, siapakah perempuan pertama yang bakal masuk syurga. Baginda menjawab, seorang wanita yang bernama Muti'ah. Fatimah terkejut, ternyata bukan dia seperti yang dibayangkannya. Mengapa orang lain, pada hal dia adalah puteri Nabi ?

Timbul keinginannya untuk mengetahui siapakah Mutiah itu. Apakah gerangan yang dilakukannya sampai mendapat penghormatan begitu tinggi ? Sesudah meminta izin daripada suaminya, Ali bin Abu Talib , Fatimah berangkat mencari rumah Mutiah. Puteranya yang masih kecil Hasan menangis ingin ikut lalu didukungnya Hasan ke rumah Mutiah.

Fatimah mengetuk pintu rumah Mutiah dan memberi salam. Wa'alaikumussalam ! Siapa di luar? Terdengar jawapan lemah lembut dari dalam. Suara cerah dan merdu.

"! ! ! Saya Fatimah, puteri Rasulullah ". "Alhamdulillah, alangkah bahagianya
saya hari ini, Fatimah sudi berkunjung ke gubuk saya," terdengar kembali
jawapan dari dalam. Kali ini nyata lebih gembira lagi makin dekat dengan
pintu."

Sendirian, Fatimah ? "Aku ditemani Hasan". "Aduh , maaf ya," suara itu terdengar jadi menyesal. " Saya belum mendapat izin suami untuk menemui tamu lelaki ".
" Tapi Hasan masih kecil". " Meskipun kecil, Hasan lelaki. Esok saja datang
lagi, saya minta izin kepada suami," sahut Mutiah tidak kurang kecewanya.

Esoknya Fatimah datang dengan membawa Husain sekali.
Selepas memberi salam dan dijawap gembira , Mutiah berkata dari dalam.
" Datang dengan Hasan, Fatimah? Suami saya sudah memberi izin"
'Ya dengan Hasan dan Husain "
"Ha? Mengapa tidak beritahu dari kelmarin ?! ! !
Yang dapat izin cuma Hasan. Husain belum. Saya terpaksa meminta izin dari suami,
" jawab Mutiah.

Hanya esok harinya baru mereka disambut baik oleh Mutiah di rumahnya. Keadaan rumah itu sangat sederhana. Tidak ada satu pun perabot mewah. Namun semuanya teratur rapi membuat tetamu senang berada di rumah itu. Fatimah kagum melihat suasana yang menyenangkan itu. Sehingga Hasan dan Husain yang biasa di rumah orang, kali ini nampak asyik bermain.
" Maaf ya, saya tidak boleh menemani Fatimah duduk. Sebab saya sedang menyiapkan makanan untuk suami saya, "kata Mutiah sambil sibuk di dapur.

Hampir waktu tengahari, masakan itu sudah siap semuanya lalu diletakkan diatas mampan.
Mutiah mengambil rotan dan diletakkan di sebelah hidangan.
Fatimah bertanya kepada Mutiah, " suamimu kerja di mana?! ! !
"Di ladang". "Sebagai pengembala?" soal Fatimah.
"Bukan. Bercucuk tanam".
"Tapi mengapa kau bawakan rotan juga?"tanya Fatimah.
"Rotan itu saya sediakan untuk keperluan lain. Kalau suami saya sedang makan , saya tanyakan apakah masakan saya sedap atau sebaliknya. Kalau suami saya jawab, "sedap", takkan terjadi apa-apa.Jika tidak sedap, rotan itu saya berikan kepadanya agar dirotan punggung saya sebab ia tidak menyenangkan suami".

"Atas kehendak suamimukah kau bawa rotan itu,"tanya Fatimah.
"Oh, sama sekali tidak. Suami saya seorang yang penyayang. Ini semata-mata kehendak saya agar jangan sampai menjadi isteri derhaka kepada suami."

Fatimah lantas meminta izin pulang. Dalam hati berkata, patut kalau Mutiah menjadi perempuan pertama masuk syurga, lantaran baktinya kepada suami begitu besar! ! ! dan tulus.

Diberitakan dalam berjuta-juta wanita di dunia ini, Muti'ah yang paling awal akan masuk ke dalam syurga. Apakah keistimewaan beliau mengatasi wanita lain?
Hanya Allah yang mengetahuinya. Tapi daripada sejarah cerita yang di khabarkan, saya membuat andaian, Muti'ah sangat sangat menghormati suaminya. Sangat sangat taat kepada suaminya. Layanan beliau kepada suaminya mungkin yang terbaik mengatasi wanita lain.

Tuesday, 21 August 2012

Teruskan ibadah selepas Ramadan

SELAMAT tinggal Ramadan dan selamat datang Syawal. Bergembiralah wahai orang-orang yang tabah menghadapi ujian sepanjang Ramadan ini.
Semoga kita sama-sama beroleh kerahmatan daripada-Nya. Beberapa hari lagi akan tiba hari kejayaan kita semua. Hari bersuka suka, hari ziarah menziarahi, hari memohon keampunan, menginsafi diri dan untuk berkumpul bersama.
Semoga silaturahim yang dijalinkan dengan kasih sayang itu kekal kukuh kerana Allah. Dalam kegembiraan menanti Syawal, sedikit hiba di hati, kerana tatkala Syawal memunculkan dirinya Ramadan melambai pergi.

Sudah cukupkah kita menghargai Ramadan kali ini? Sudah banyakkah amalan yang kita lakukan? Mungkinkah kita bertemu lagi dengan bulan yang mulia ini pada tahun mendatang? Wallahualam, sesungguhnya Allah lebih mengetahui segala-galanya.

Dalam Islam, amalan dan hidup kita ditentukan bagaimana kita mengakhirinya.
Kita mengenal istilah khusnul khatimah dan juga su’ul khatimah.

Rasulullah pernah menegaskan, bahawa setiap amal itu sangat tergantung bagaimana kita mengakhirinya. Orang Mukmin bergembira dengan selesainya Ramadan kerana memanfaatkan bulan itu untuk ibadah, taat, mengharap pahala dan keutamaannya.

Manakala orang munafik bergembira apabila selesai bulan Ramadan kerana kembali untuk melakukan maksiat serta mengikuti dorongan syahwat.

Jadi, orang Mukmin akan meneruskan ibadah selepas Ramadan dengan beristighfar, bertakbir dan beribadah. Namun, orang munafik melanjutkan dengan maksiat, huru-hara, pesta muzik dan nyanyian.

Selepas berpuasa sebulan, kini ditutupi dengan solat hari raya Aidilfitri dan bayar zakat fitrah. Sebagaimana Allah mensyariatkan solat Adiladha sebagai tanda syukur kepada-Nya selepas melaksanakan kewajipan haji.

Diriwayatkan secara sahih, daripada Nabi SAW, bahawa baginda ketika datang di Madinah, penduduknya mempunyai dua hari mereka bermain-main pada hari itu, beliau bersabda: “Sungguh Allah menggantikan untuk kamu dua hari itu dengan yang lebih baik dari keduanya, (iaitu) hari (raya) Qurban dan hari (raya) Aidilfitri.”

Tidak boleh menambah dua hari raya ini dengan mengadakan hari raya baru yang lain. Hari raya dalam Islam itu disebut ‘ied, ertinya ‘kembali’.

Ia kembali dan berulang-ulang setiap tahun dengan membawa kegembiraan dan kesenangan. Bukan saja lelaki, bahkan Nabi SAW juga memerintahkan Muslimah supaya keluar untuk solat hari raya.

Kaum wanita disunatkan hadir tanpa pakai wangian, tidak berhias untuk menarik perhatian, dan tidak bercampur-aduk dengan lelaki. Apabila keluar menunaikan solat, ia perlu menampakkan syiar Islam dan diusahakan dengan khusyuk, ghaddhul bashar (menjaga pandangan daripada yang haram), menjaga lisan daripada bercakap bohong dan kosong.

Jangan dengar percakapan yang mengarut, nyanyian dan muzik melalaikan. Nabi mensyariatkan umatnya menyambung puasa Ramadan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal.

Sabda Nabi: “Barang siapa berpuasa Ramadan dan diikuti dengan (puasa sunnah) enam hari di bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun.” (Hadis riwayat Muslim).

Pahala kebaikan dikira satu akan dibalas 10 kali ganda. Maka sebulan Ramadan akan dibalas dengan 10 bulan. Manakala, enam hari di kali dengan 10 di bulan Syawal akan dibalas dua bulan.

Sumber: Artikel ditulis oleh Ustaz Zawawi Jusoh

Thursday, 16 August 2012

RAMADAN, AL-QURAN DAN KITA

Ramadan dan al-Quran satu ikatan yang tersimpul mati. Apabila disebut Ramadan, di samping puasa, kita akan teringatkan penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran). Bulan Ramadan bulan yang diturunkan dalamnya al-Quran. Penurunan al-Quran itu dua peringkat; pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi s.a.w secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sejak Nabi Muhammad ditabalkan menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.
Para sarjana tidak berbeza pendapat bahawa al-Quran turun (Nuzul al-Quran) dalam bulan Ramadan. Ini kerana Allah sendiri yang menjelaskan bahawa al-Quran itu turun dalam bulan Ramadan. Firman Allah: (maksudnya)
“Bulan Ramadan yang Kami turunkan dalamnya al-Quran yang menjadi pertunjuk untuk manusia” (Surah al-Baqarah, 185).
Namun begitu sarjana berbeza pendapat tentang berapa haribulankah Ramadan penurunan itu berlaku? Ada yang berpendapat ia diturunkan pada 21hb Ramadan. Pendapat ini dipegang oleh beberapa orang ulama, antaranya tokoh Sirah yang terkenal al-Syeikh Safiyy ar-Rahman al-Mubarakfuri seperti yang beliau sebut dalam karyanya Rahiq al-Makhtum. Ada juga yang berpendapat 24hb Ramadan kerana bersandarkan hadis riwayat al-Imam Ahmad yang menyebut: “…Allah turunkan al-Quran pada 24hb Ramadan”. Hadis ini disahihkan oleh sebahagian ulama, dihasankan oleh sebahagian yang lain. Terdapat juga sarjana yang mendaifkannya disebabkan kritikan terhadap salah seorang rawi iaitu Imran bin al-Qattan. Namun ada riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas yang boleh menyokong riwayat ini. Di sana ada lain-lain pendapat tentang haribulan Nuzul al-Quran ini.
Di tempat kita biasanya kita mendengar tarikh Nuzul al-Quran pada 17hb Ramadan. Ini juga salah satu pendapat yang telah sesetengah sarjana kemukakan. Pun begitu pendapat ini mendapat kritikan sebahagian sarjana yang lain atas beberapa alasan. Antaranya, al-Quran sendiri menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada Malam al-Qadr (Lailatul Qadar). Ini seperti yang Allah sebut dalam Surah al-Qadr: (maksudnya)
“Sesungguhnya Kami telah turunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr” (ayat 1).
Hadis-hadis Nabi s.a.w pula banyak yang menjelaskan bahawa Malam al-Qadr itu berlaku pada salah satu dari sepuluh malam yang akhir bulan Ramadan. Maka, sepatutnya penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) dalam lingkungan sepuluh yang akhir. Tokoh ilmu al-Quran yang terkenal al-Imam al-Zarqani menyebut dalam karyanya Manahil al-‘Urfan:
“Kemudian di sana ada pendapat yang menyatakan bahawa pemulaan Nuzul al-Quran itu pada 17hb Ramadan. Itulah merupakan Malam al-Qadr menurut sebahagian pendapat. Namun pandangan itu menyanggahi pendapat yang masyhur yang disokong oleh hadis sahih”. (1/52, Beirut: Dar al-Fikr).
Apapun perbezaan pendapat yang ada, kesemua umat akur bahawa al-Quran itu turun pada bulan Ramadan. Sarjana hanya berbeza pendapat tentang haribulannya sahaja. Masing-masing telah mengemukakan alasan mereka.
Penghayatan
Lebih penting dari itu semua, kita hendaklah menghayati tujuan al-Quran itu diturunkan kepada manusia. Ia bukan sebuah kitab sekadar untuk dibaca dan diperlagukan tanpa memahami tujuan ia diturunkan. Jika ramai orang boleh membaca al-Quran, melagukannya, menghiasinya dengan ukiran dan solekan yang indah namun enggan mendalami dan menghayati tujuan penurunannya, maka al-Quran tidak akan berfungsi dalam kehidupan manusia. Ia seakan seorang pesakit yang membaca jadual ubatnya, menulisnya dengan indah dan cantik tetapi tidak memakannya. Firman Allah: (maksudnya):
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. (Surah al-Baqarah, 185).
Itulah tujuan penurunan al-Quran. Ia menjadi petunjuk, menjelaskan petunjuk tersebut serta memampukan pembacanya membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara haq dan batil. Itulah cahaya insan dalam menerangi cabaran kehidupan di dunia ini. Hal ini tidak mungkin diperolehi jika kita sekadar berlagu dan menggantungnya di dinding rumah dan pejabat tanpa melakukan tadabbur (penelitian kandungan). Allah menyebut dalam Surah al-Israa: (maksudnya)
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul, dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya”. (ayat 9-10)
Kita semua ada kelemahan, kita juga mungkin tidak berjaya menjadi insan yang melaksanakan seratus peratus isi kandungan al-Quran tetapi kita sentiasa wajib beriman bahawa jalam hidup ini ialah mengikuti isi kandungan al-Quran, bergerak dan berusaha menghayatinya dari masa ke semasa adalah tanggungjawab seorang yang beriman. Kejayaan kita ialah dengan memahami dalam melaksanakan isi kandungan al-Quran. Kita hendaklah membaca al-Quran sehingga dapat membezakan antara yang benar dan yang salah. Antara yang ikhlas dan yang pura-pura. Antara yang membela kebenaran dan yang memperjudikan kebenaran. Ini amat penting sepanjang masa, apatahlagi di zaman dunia yang penuh kekaburan dan kekeliruan. Tidak berpada sekadar melagukan, bertanding dan menggantung di dinding-dinding tanpa memperdulikan isi yang tersurat dan tersirat di sebalik tulisan yang tersemat.
Jangan juga kita lupa bahawa pada zaman ini akan ada yang menggunakan al-Quran untuk mendapatkan wang ataupun harta dunia dari manusia. Sabda Nabi
“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, bertaraf hasan).
Jangan hairan jika kita bertemu dengan mereka yang meminta wang bacaan al-Quran kononnya sebagai bayaran pahala kepada si mati, ataupun membaca al-Quran dengan segala lengangan lagunya hanya semata-mata untuk mendapatkan wang. Bukan itu tujuan al-Quran diturunkan!


Sumber ditulis oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin http://drmaza.com/home

 

Tuesday, 14 August 2012

Kemanisan Dalam Ujian

Nabi Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau terlibat dengan kejadian memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic) dalam usaha menghalang kezaliman perkauman terhadap Bani Israil. Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu adalah satu kesilapan. Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang susah.

Madyan yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan saya pernah sampai berkali-kali di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana begitu jauh bagi memastikan tentera Firaun tidak sampai ke negeri tersebut untuk menangkapnya.

Apabila sampai di Madyan, Musa a.s. mendapati sekumpulan pengembala yang sedang menceduk air, sementara di sana ada dua gadis yang hanya menunggu. Jiwa Musa a.s yang amat pantang melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu menyebabkan dia yang dalam keletihan yang teramat bertanya hal kepada kedua gadis tersebut.
Al-Quran menceritakan kejadian ini: (maksudnya)
“Dan setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul”. Dan ketika dia sampai di telaga air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “. (Surah al-Qasas 22-23).
Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak membantu yang lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi keletihan yang dihadapinya ketika itu. Dia tampil dengan segala keringat yang berbaki menolong gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia menolong tanpa sebarang habuan yang diharapkan.

- Gambar Hiasan
Setelah menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam keadaan yang teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa dengan doa yang ringkas tetapi amat dalam maksudnya. Saya tidak pasti sama ada mereka yang tidak memahami bahasa arab dapat menikmati keindahan ungkapan yang ringkas itu atau pun tidak? Namun saya akan cuba menterjemahnya dalam strukturnya.
Saya ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran. Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.
Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.
Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya)
“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas 24).
Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.
Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya.
Ayat-ayat seterusnya dalam Surah al-Qasas ini menceritakan bagaimana kedua orang gadis tadi kembali semula menjemput Musa a.s. ke rumah mereka atas jemputan ayah mereka. Ayah mereka yang merupakan seorang yang mulia amat berterima kasih atas pertolongan Musa a.s. Al-Quran tidak menceritakan siapakah ayah mereka. Apakah dia Nabi Syu’aib atau orang lain tidaklah dapat dipastikan. Kemungkinan besar bukan Nabi Syu’aib seperti yang disangka oleh sebahagian penafsir.
Apa pun, Nabi Musa a.s. diberikan tempat perlindungan, makanan, kerja, bahkan dikahwinkan dengan salah seorang dari gadis tersebut. Demikian Allah memustajabkan doa Musa yang ringkas, tetapi penuh makna. Doa yang dilafazkan dari jiwa yang benar-benar tunduk, menyerah, sepenuh tawakkal dan keyakinan bahawa Allah sentiasa menyahut permohonan hamba yang benar-benar bergantung kepadaNya.
Jauh Musa a.s berjalan membawa perasaan bimbang dan bebanan ancaman oleh pihak musuh. Ujian yang memaksa dia yang membesar dalam istana menjadi pelarian tanpa bekalan. Namun dalam ujian itu Nabi Musa a.s mengalami pengalaman hidup yang hebat dan kurniaan-kurniaan yang besar. Tanpa ujian, hal ini tidak akan berlaku.
Demikian jika kita membaca doa-doa yang syahdu yang penuh menyentuh akal dan ruh yang dilafazkan oleh insan-insan soleh dalam al-Quran, samada para nabi atau selain mereka, kita dapati doa-doa itu banyak yang diungkapkan dalam keadaan getir dan ujian yang mencabar.
Kita sendiri dalam hidup barangkali tidak akan menghafaz banyak doa al-Quran dan al-Sunnah melainkan setelah kejadian-kejadian dalam hidup yang mendesak untuk kita ‘bertadarru’ atau merendah, akur dan tunduk dengan sepenuh jiwa kepada kebesaran kerajaan Allah Yang Maha Menguasai segala urusan hidup ini.

- Gambar Hiasan
Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang menimpanya. Berapa ramai manusia yang bersarang bongkak dan takabur dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya.
Firman Allah: (maksudnya)
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).
Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:
“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat Muslim).
Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”.
Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” (“Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).

Sumber: Dr. Mohd Asri Zainul Abidin link: http://drmaza.com/home

Monday, 13 August 2012

10 Golongan Orang Yang Menzalimi Diri Sendiri


Gambar Hiasan


1.Apabila dia berdoa, dia tidak mendoakan orang lain
2.Tidak membaca Al-Quran
3.Tidak solat Sunat Tahhiyatul Masjid apabila masuk masjid
4.Tidak memberi salam dan berdoa kepada ahli kubur ketika berada di perkuburan
5.Apabila sampai disesuatu tempat di atidak solat jumaat
6.Apabila orang alim datang ke tempatnya, dia tidak mahu belajar
7.Apabila bertemu dua orang, tidak bertanya nama.
8.Apabila dijemput kenduri, dia tidak datang.
9.Pemuda yang tidak mahu kerja dan tidak mahu belajar
10.Makan kenyang sedangkan jiran sebelah kelaparan

Sumber: Ustaz Ismail Kamus

Beberapa Info Berguna-Berkenaan Malam Al-Qadar

Laylatul Qadar atau Malam al-Qadar telah diketahui umum sebagai malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Ia berdasarkan ayat al-Quran dari surah al-Qadr . Firman Allah SWT :
Ertinya : "Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan"  (Al-Qadr : 2) .
Di Malam ini jugalah Nabi SAW bersungguh-sungguh beribadat melebihi malam-malam Ramadhan yang lain.  Disebutkan di dalam sebuah hadith :-
Ertinya : Adalah Nabi SAW, beribadat dengan (lebih) bersungguh dan kuat di sepuluh malam terakhir Ramdhan, tidak sebagaimana baginda di malam-malam yang lain" ( Riwayat Muslim, no 1175 )
Sebuah lagi hadis menyebut :- 
انه كان يعتكف فيها ويتحرى ليلة القدر خلالها
Ertinya : "Adalah Nabi SAW beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-qadar darinya (malam-malam ramadhan)" ( Riwayat al-Bukhari & Muslim)
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره
Ertinya : " Apabila telah masuk 10 terakhir bulan Ramadhan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan mengetatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus)" ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Waktunya



Para ulama antaranya Syeikh Dr Yusof Al-qaradawi menyebut bahawa tarikh malam lailatul qadar sengaja di sembunyikan oleh Allah SWT agar umat manusia berusaha bersungguh-sungguh bagi mencarinya, bagaimanapun ada disebutkan terdapat tanda-tanda akan kemunculan malam yang terhebat ini.
Iaitu seperti hari esoknya yang tidak terlampu panas dan tidak pula sejuk, matahari pula tidak memancarkan sinarannya dan pelbagai lagi. Ia semuanya berasal dari hadith-hadith yang sohih.
Bagaimanapun tanda-tanda ini tidaklah begitu penting bagi individu yang benar-benar telah beribadat sepanjang malam. Ia juga tidak banyak memberikan manfaat kerana malam tersebut sudah terlepas sekiranya tanda itu dikenalpasti esoknya.
Malah, tanda ini juga adalah amat sukar menjadi tepat kerana suasana dan cuaca sesebuah Negara adalah berlainan. Di Negara barat contohnya mungkin sentiasa mendung kerana berada dalam musim sejuk, musim bunga manakala di Afrika pula mungkin sedang mengalami keterikan. Adakah malam al-qadar tidak muncul di tempat mereka kerana setiap siang adalah terik?.
Jawabnya, tanda-tanda ini hanyalah contoh yang berlaku di zaman Nabi SAW dan tidak lebih dari itu.
Menurut pandangan yang paling kuat di kalangan para ulama, ianya berlaku pada sepuluh malam yang terakhir, iaitu pada malam-malam ganjil.
Hadith Nabi menyebut:-
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
Ertinya : " Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Bagaimanapun, kita sekali lagi mungkin kebingungan pada tahun-tahun tertentu JIKA negara Arab memulakan puasa pada tarikh yang berbeza dengan negara-negara di Nusantara. Justeru, pada malam ganjil menurut kiraan Malaysia atau Saudi ?. Hal ini sukar diputuskan oleh para Ulama. Sudahnya, mereka menyarankan agar dihidupkan seluruh malam sahaja. Jawapan termudah tetapi tidak memuaskan hati tentunya. Wallahu alam.

 

Tarikhnya Berubah atau Tetap Setiap Tahun?
Sebahagian ulama mengatakannya bersifat tetap pada setiap tahun iaitu pada malam 27 Ramadhan, manakala majoriti ulama termasuk Imam An-Nawawi As-Syafie pula berpendapat ianya bertukar-tukar pada setiap tahun dan tidak kekal pada satu tarikh (Al-Majmu' 6/450).
Selain dari itu, berdasarkan dalil hadith al-Bukhari, kemungkinan terbesar adalah jatuh pada tujuh malam terakhir iaitu samada 25, 27 atau 29 Ramadhan berdasarkan sabdaan Nabi SAW:-
أرى رؤياكم قد تواطأت في السبع الأواخر ، فمن كان متحريها فليتحرها في السبع الأواخر
Ertinya : Aku lihat mimpi kamu (sahabat) telah menepati di tujuh malam terakhir, sesiapa yang mencarinya, maka carilah ia di tujuh malam terakhir" ( Riwayat al-Bukhari , no 1911 & Muslim)
Dari tiga tarikh harapan itu, tarikh 27 Ramdhan adalah yang paling diharapkan oleh kebanyakan umat Islam (terutamany di negara Arab) dan ia juga dipegang oleh kebanyakan Sahabat Nabi SAW serta ulama silam, sehinggakan seorang sahabat bernama Ubay Bin Ka'ab ra bersumpah ia adalah malam ke dua puluh tujuh (di zamannya secara khasnya kerana beliau telah melihat tandanya dan yakin tarikh itu tidak berubah pada tahun-tahun berikutnya) dan zaman lain umumnya, sebagaimana dalil hadith yang menyebut:-
ليلة القدر ليلة سبع وعشرين
Ertinya : "Malam al-Qadar dalah malam ke dua puluh tujuh" (Riwayat Ahmad, Abu Daud, no 1386 )
Doa Terpenting Semasa Lailatul Qadar
Allah s.w.t pernah menegur manusia yang lupa doa untuk akhirat mereka di masa puncak kemakbulan doa. Anataranya seperti hari Arafah, sebagaimana dinyatakan dalam firmanNya :-
فَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ
Ertinya : Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat ( Al-Baqarah : 200 )
Jelas dalam ayat ini Allah s.w.t menegur manusia yang lupakan kebaikan akhiratnya.
Lalu Allah s.w.t mewartakan bentuk doa yang sepatutnya, iaitu yang merangkumi kebaikan dunia dan akhirat..dan dilebihkan 'portion' atau bahagian akhirat apabila di tambah "selamatkan dari api neraka". Beerti doa untuk bahagian akhirat perlu lebih dari dunia.
Lihat doa yang diingini Allah s.w.t :-
وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Ertinya : "Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: ""Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka" ( Al-Baqarah : 201 )
Di malam-malam akhir ramadhan ini target utama kita adalah mendapatkan keampunan Allah s.w.t. Inilah yang disebut dalam jawapan nabi s.a.w kepada Aisyah r.a :-
وقالت عائشة ـ رضي الله عنها ـ : يا رسول الله إن وافقت ليلة القدر، فما أقول ؟ قال: قولي: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
Ertinya : "Berkatalah Aisyah , Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ? Bersabda Nabi : " Sebutlah doa " Ya Allah sesungguhnya dikaulah maha pengampun , dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan"
Mestikah Mendapat Tanda ?
Sabda Nabi SAW :
من يقم ليلة القدر فيوافقها..
Ertinya : Barangsiapa yang menghidupkan malam qadar ini dan mendapatnya..." ( Riwayat Muslim)
Hadiith ini menyebabkan setengah ulama mengatakan bahawa setiap individu yang mendapat keberkatan malam al-qadar mestilah mengetahui berdasarkan hadith di atas.
Bagaimanapun, pandangan yang lebih tepat adalah seseorang individu itu mampu mendapat kebaikannya, samada ia mengetahuinya atau tidak mengetahuinya, tanpa menafikan bahawa sesetengah individu diberi rezeki  dan kelebihan oleh Allah untuk mengetahuinya melalui pelbagai cara termasuk mimpi, tanda menarik dan mungkin pelik dan sebagainya.
Tidak perlulah untuk solat malam di tepi pokok atau di hadapan baldi air, kerana ingin memastikan waktu pokok sujud atau air menjadi beku. Allah akan memberikan tandanya menurut kehendakNya.
Masa Berkat Berpanjangan atau Hanya Beberapa Saat?
Saya masih ingat, semasa saya berada di zaman kanak-kanak, tersebar info kepada kebanyakkan saya dan rakan-rakan ketika itu adalah :
waktu maqbul dan berkat ini beberapa saat sahaja. Jika terlepas maka saatnya rugilah sepanjang hayat.
Rupanya, ia hanya rekaan para pereka cipta sahaja yang tidak diketahui tujuan mereka. Hakikatnya, waktu berkat lagi makbul ini adalah luas sepanjang malam, ia telah disebutkan oleh Allah dengan jelas iaitu :-
سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Ertinya : Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar ( Al-Qadr : 5 )

Inilah yang diterangkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam kitabnya. (Al-Jami' Li  Ahkam al-Quran, 20/134 )
Wanita Haid Terhalang Dari Berkatnya ?
Adakah wanita sedang haid terhalang dari keberkatan lailatul Qadar?. Sudah tentu jawabnya tidak, Allah s.w.t maha adil. Bagi wanita sedang uzur pelbagai amalan dan ibadah yang masih boleh dilakukan seperti :-
  • 1) Berzikir
  • 2) Berdoa
  • 3) Membawa terjemahan Al-Quran serta memahaminya.
  • 4) Mendengar bacaan Al-Quran oleh suaminya, adik beradik atau dari kaset.
Sebahagian ulama silam dan moden seperti Syeikh Prof. Dr Muhammad Abu Laylah ( Prof Syariah di Univ Al-Azhar) berpendapat mereka dibenarkan juga membaca al-Quran tanpa memegangnya  (melalui hafazan), malah sebahagian yang lain seperti Fatwa Ulama Saudi pula membenarkan mereka membacanya melalui mashaf. Saya tidak ingin membincangkannya di sini. Sekadar memberikan idea dan keterbukaan di kalangan para ulama.
Semoga kita diberikan kekuatan ibadah dan keikhlasan di waktu malam tersebut.

sekian

Sumber:Ditulis oleh Zaharuddin Abd Rahman link: http://zaharuddin.net

Saturday, 11 August 2012

Ibarat Sebuah Kapal



Gambar hiasan-sumbergambar.com

       Realiti ini dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW, daripada al-Nu'man bin Bashir, Baginda SAW bersabda, maksudnya "Perumpamaan orang yang melaksanakan ajaran-ajaran Allah dan orang yang melanggarnya adalah seperti kaum yang menaiki kapal dan belayar di lautan. Sebahagian daripada mereka memperoleh tempat di atas dan sebahagian mereka yang lain di bawah. Orang yang berada di bawah naik ke atas untuk mengambil air, mereka mengganggu orang yang tinggal di atas. Kemudian orang berada di atas berkata: "Kami tidak akan membenarkan kamu naik menyakiti kami". Lalu orang yang berada di bawah berkata: "Sesungguhnya kami menebuk lubang di bawah kapal untuk mengambil air". Kalau mereka menahan 'Tangan' mereka dan mencegah perbuatan mereka yang berada di bawah itu, maka selamatlah semuanya, tetapi sekiranya mereka membiarkan sahaja, maka mereka akan tenggelam ke semuanya.
      Dalam perbandingan mudah ini, orang yang duduk di bahagian bawah kapal ibarat ahli maksiat yang suka melakukan kerosakan.Di bahagian atas pula adalah golongan yang melihat kemungkaran tetapi berdiam diri dan mencegahnya. Jika orang yang berada di bawah kapal membuat lubang di kapal untuk mengambil air, ia berisiko menenggelamkan kapal.
      Jika kita berada di atas, adakah wajar kita hanya membiarkan sahaja perbuatan yang sangat besar risikonya itu? Adakah kita hanya selesa menikmati sinaran matahari dan bayu laut dan tidak mempedulikan keperluan dan perbuatan mereka di bahagian bawah itu?
     Jika maksiat berleluasa, impak buruknya akan turut terkena tempias kepada orang yang soleh. Jika bencana melanda dek Allah murka, orang yang soleh tidak terkecuali. Jadi, pilihan yang ada ialah sama ada diam atau bertindak.

Sumber: solusi

Thursday, 26 July 2012

Mukjizat-Mukjizat Para Nabi dan Rasul


Nabi-Nabi
Mukjizat
Nabi Musa A.S

Membelah Laut Merah menjadi dua dengan
tongkat
Mengeluarkan 12 mata air dengan mengetuk
tongkat ke  atas batu

Nabi Saleh A.S

 Mengeluarkan Unta dari celah batu.
Nabi Isa A.S

 Diangkat ke langit.
       
Nabi Muhammad S.A.W
-Membelah bulan menjadi dua dengan jarinya
-Mengeluarkan air menggunakan hujung
jarinya.

-Semasa Abu Jahal hendak menghempap batu
sewaktu Nabi solat, Unta besar keluar dari
bahunya.

-Sampai ke Sidratul Muntaha semasa peristiwa Israk dan Mikraj









Wednesday, 25 July 2012

Puasa Satu Kewajipan kepada Umat Islam

Kedatangan bulan Ramadhan  adalah satu rahmat kepada semua umat Islam kerana di dalam bulan ini Allah S.W.T membuka pintu-pintu Syurga seluas-luasnya dan pintu-pintu Neraka ditutup serapat-rapatnya,syaitan yang dilaknat dibelenggu, dan rezeki melimpah ruah dan mudah diperolehi . Di dalam bulan ini juga umat Islam diwajibkan berpuasa sebagai memenuhi tuntunan rukun Islam yang ketiga. Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam perlu memahami dan mengahayati ibadah puasa ini agar mencapai kesempurnaanya khususnya daripada segi hukum dan fadhilatnya. Di sini saya ingin berkongsi perkara-perkara asas yang perlu difahami,dihayati dan dipatuhi oleh semua umat Islam iaitu;

Perbuatan yang membatalkan puasa
  • Murtad
  • Gila
  • keluar haid/nifas
  • Muntah dengan sengaja
  • Bersalin/wiladah
  • Pengsan sepanjang hari
  • Bersetubuh di siang hari
  • Memasukkan sesuatu di dalam rongga
  • Mengeluarkan mani dengan segaja
Perkara-perkara makruh semasa berpuasa
  • Berbekam
  • Gosok gigi setelah tergelincir matahari.
  • Kumur berlebihan
  • Mandi berlebihan
  • Tidur sepanjang hari
  • Merasa makanan dengan lidah.

Sunday, 22 July 2012

Biografi Imam Al-Shafie



  • Imam Al-Shafie atau dikenali dengan gelaran Imam Shafie adalah pengasas utama mazhab Shafie. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Shafie bin Saib bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Al-Muttalib bin Abdul Manaf.
  • Imam Shafie adalah daripada keturunan Arab Quraisy dan berkait rapat dengan keturunan Nabi Muhammad S.A.W sebelah Abdul Manaf.
  • Atas perkaitan ini Imam Shafie digelar Anak bapa saudara Rasul atau daripada golongan yang dipanggil Zawil Qurba.

Kelahiran Imam Shafie
  • Menurut riwayat Imam Shafie dilahirkan pada bulan Rejab 150 hijrah. Beliau dilahirkan di Ghazzah dalam wilayah Palestin.
  • Kelahiran Imam Shafie berlaku pada bulan dan tahun yang sama dengan kewafatan Imam Abu Hanifah.Ada sesetengah pendapat mengatakan pada malam kematian Imam Abu Hanifah, Imam Shafie dilahirkan.
  • Beliau dilahirkan pada zaman Abu Jaafar Al-Mansur menjadi Khalifah di Baghdad. Al-Mansur ilah Khalifah Bani Abbas yang kedua. Pada masa itu,wilayah Islam telah pesat berkembang dan kota-kota besarnya seperti Baghdad, Kufah, Damsyik, Fustat(Mesir) dan Qurtubah (Andalus) sudah maju dan terkenal sebagai gedung ilmu pengetahuan.
Ibu Imam Shafie
  • Ibu kepada Imam Shafie bernama Fatimah.Jika disusur kembali keturunan ibu Imam Shafie nyata beliau juga adalah keturunan Rasulullah sebelah anaknya Siti Fatimah.Ibunya Fatimah itu adalah Fatimah binti Abdullah Bin Al-Hasan bin Husain bin Ali bi Abi Talib.

Thursday, 19 July 2012

Marhaban Ya Ramadhan

Assalamualaikum W.B.T....saya dengan rasa rendah diri mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam di dunia umumnya dan umat Islam di Malaysia khususnya. Semoga kedatangan bulan Ramadhan kali ini merupakan hijrah yang terbaik buat kita semua...amin!!!!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...